Realisasikan Pekan Paris 333.55 ekar tanah dibangunkan

August 26, 2024 / BY / IN Category, Keratan Akhbar

KINABATANGAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman berkata rakyat akan mendapat manfaat pembangunan apabila lebih 300 ekar tanah akan dimajukan menjadi Pekan Paris.

Menurutnya, perancangan bandar meluluskan pelan pembangunan tanah seluas 333.55 ekar yang akan menempatkan Pusat Pentadbiran Pekan Paris, kemudahan awam seperti terminal bas, pasar, sekolah, rumah-rumah ibadah, taman rekreasi dan lain-lain

“Perancangannya, ada dua pekan baharu akan dibangunkan iaitu Sukau dan Paris.

“Cuma pelaksanaan di Paris agak lambat sikit kerana memajukannya memerlukan sejumlah peruntukkan namun saya yakin akan direalisasikan tahun depan demi kemajuan kawasan ini.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo selepas merasmikan Pertandingan Futsal Terbuka Lelaki Kinabatangan 2019, di Kampung Paris Dua di sini, kelmarin.

Turut hadir Pembantu Pegawai Daerah Kinabatangan Suhaimi Ejib, Pegawai Belia dan Sukan Kinabatangan Masli Maslan, Pemaju Mukim Paris Romansa Wanna, Pengerusi MPKK Kampung Paris Dua Hamka Daming.

Menurut Saddi, Mukim Paris mempunyai lebih 50,000 penduduk di tujuh buah kampung dan penempatan di ladang-ladang sawit serta kilang-kilang pemprosesan.

Katanya, Paris terletak di kawasan strategik di perantaraan daerah Lahad Datu dan Kinabatangan yang membangun dengan pesat.

Beliau yakin dengan perubahan yang disusun rapi, Pekan Paris akan memberi hasil pendapatan kepada negeri seterusnya menyumbang kepada hasil kutipan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Mewujudkan pentadbiran yang lebih bai, menurut Saddi akan memberi kesan dalam banyak aspek khususnya melihat keluasan Sukau dan pertumbuhan penduduk yang meningkat.

Saddi turut meluangkan masa melawat tapak pembangunan Pekan Paris termasuk kawasan perumahan yang akan dimajukan tidak lama lagi.

Pada perkembangan lain, Saddi turut mengulas mengenai Balanjawan 2020 yang menurutnya akan memberi manfaat kepada pembangunan belia.

Menurutnya sejumlah RM1.2 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Belia dan Sukan yang menjurus kepada keperluan belia di semua peringkat.

“Saya berharap peruntukkan itu akan dimanfaatkan semua belia khususnya untuk merungkai permasalahan mereka di luar bandar ini yang bukan sahaja memerlukan kemudahan beriadah dan bersukan tapi untuk program-program yang dapat membina masa depan pekerjaan, ilmu pengetahuan, keusahawanan dan lain-lain lagi,” katanya.

23 Okt 2019 Oleh Norwahida Yamaluddin

Arkib Web Angka Group Sdn Bhd

Angka Group

Angka Group merupakan pemain utama dalam industri kelapa sawit, dengan ladang yang luas dan amalan pertanian lestari yang memastikan hasil berkualiti tinggi.

Leave a Reply